Untung bersih Petronas Gas susut kepada RM1.73 bilion - Utusan Malaysia

Untung bersih Petronas Gas susut kepada RM1.73 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd. (PGB) mencatatkan penyusutan keuntungan bersih kepada RM1.73 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berbanding RM1.84 bilion tempoh sama tahun sebelum.

PGB turut mengisytiharkan dividen bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 22 sen sesaham yang akan dibayar pada 24 Mac 2026.

PGB berkata, penyusutan itu berpunca daripada margin lebih rendah dalam segmen pengangkutan gas susulan penurunan hasil serta kos yang ditanggung bagi kerja pemulihan bekalan gas berikutan insiden kebakaran saluran paip di Putra Heights.

“Segmen berkenaan turut merekodkan tahap aktiviti penyelenggaraan lebih tinggi, khususnya penyelenggaraan pencegahan serta langkah yang diambil bagi menangani risiko operasi yang timbul.

“Margin segmen utiliti juga menurun sejajar dengan hasil yang lebih rendah, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Selain itu, PGB turut merekodkan hasil berkurang 2.5 peratus kepada RM6.37 bilion daripada RM6.54 bilion setahun lalu, terutamanya disebabkan harga produk lebih rendah dalam segmen utiliti.

Menurutnya, penyusutan itu turut dipengaruhi hasil pengangkutan gas yang lebih rendah berikutan pelarasan tarif menurun susulan faktor perkongsian bagi penggunaan gas dalaman (IGC) yang lebih rendah pada tahun sebelumnya.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih kumpulan merosot kepada RM363.91 juta daripada RM417.03 juta pada tempoh sama tahun sebelum, manakala hasil berkurang kepada RM1.57 bilion berbanding RM1.62 bilion dalam tempoh sama sebelumnya.

Mengenai prospek, PGB menjangkakan prestasi kekal berdaya tahan pada 2026, di samping terus berwaspada terhadap cabaran dalam persekitaran operasi yang semakin dinamik.

“Semakan tarif yang baharu diluluskan di bawah Tempoh Kawal Selia 3 bagi segmen perniagaan Pengangkutan Gas dan Regasifikasi dijangka terus menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan.

“Kumpulan kekal komited memastikan operasi yang selamat, boleh dipercayai dan cekap, disokong disiplin kos berhemat serta kecemerlangan operasi, di samping meneroka peluang pertumbuhan mampan yang memberi nilai kepada semua pihak berkepentingan,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN