PETALING JAYA: Tunas Bestari Golf Academy (TBGA) terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi penting dalam landskap pembangunan golf remaja negara menerusi pencapaian konsisten di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Ditubuhkan pada 2015 di bawah naungan TSM Charity Golf Foundation, akademi itu diasaskan dengan objektif murni untuk merapatkan jurang akses latihan golf profesional khususnya kepada golongan belia kurang berkemampuan.
Seiring peredaran masa, TBGA berkembang daripada sebuah inisiatif akar umbi kepada pusat latihan berprestasi tinggi yang kini diiktiraf sebagai antara akademi golf terkemuka di Malaysia.
Keunggulan akademi tersebut terbukti pada 2024 apabila atlet bimbingannya mencatat sejarah tersendiri dengan memenangi kesemua kategori umur pada Final Kebangsaan Golf Wanita Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).
Operasi latihan TBGA berpusat di MST Arena, The Gardens Mall yang dilengkapi fasiliti bertaraf dunia dan ketika ini menempatkan 18 pemain terpilih berusia antara sembilan hingga 17 tahun.
Pasukan kejurulatihan akademi itu diterajui Pengarah Program, Fergal McGeown dengan sokongan jurulatih berpengalaman Stewart Ginn, serta dibantu barisan jurulatih muda berpotensi, Zulaikah Nasser dan Afif Fathi.
Pada November 2023, TBGA melakar satu lagi langkah strategik apabila menjalin kerjasama bersama AirAsia Brand Co. menerusi inisiatif ALLSTARS ‘Dare to Dream’.
Kerjasama tersebut disifatkan sebagai pemangkin utama kejayaan atlet akademi berkenaan dalam menghadapi saingan di kejohanan tempatan dan antarabangsa.
Antara atlet yang mencuri tumpuan ialah Nur Diana Syafiqah yang berada di kedudukan 890 World Amateur Golf Ranking (WAGR) serta mencatat keputusan podium dalam beberapa kejohanan antarabangsa.
Nur Batrisyia Balqis dan Ezekiel Riz Hafi turut menyerlah dengan pencapaian membanggakan termasuk mewakili negara dan menjuarai kejohanan peringkat kebangsaan.
TBGA kekal komited membina laluan menyeluruh buat atletnya bukan sahaja dalam arena sukan kompetitif, malah ke arah pencapaian akademik menerusi peluang biasiswa kolej di Amerika Syarikat. – UTUSAN










