TikTok Shop, Tekun Nasional buka Hab LIVE di Kelantan - Utusan Malaysia

TikTok Shop, Tekun Nasional buka Hab LIVE di Kelantan

TikTok Shop dengan kerjasama strategik Tekun Nasional secara rasmi melancarkan TikTok Shop LIVE Hub di Kota Bharu, Kelantan bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TikTok Shop dengan kerjasama strategik Tekun Nasional secara rasmi melancarkan TikTok Shop LIVE Hub di Kota Bharu, Kelantan bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Pelancaran itu merupakan hab keempat di Malaysia selepas Sabah, Kuala Lumpur, dan Johor, sebagai sebahagian daripada pelaburan RM3 juta yang diperuntukkan sejak tahun lalu untuk pembangunan infrastruktur digital di enam buah negeri.

Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, pembukaan hab di Kelantan ini memperkukuh komitmen syarikat dalam membina ekosistem digital yang inklusif.

“Kami amat menghargai sokongan Tekun Nasional yang membolehkan kami menyediakan infrastruktur Shoppertainment bagi membantu PMKS menguasai kraf penstriman langsung dan kandungan kreatif.

“Inisiatif ini direka khusus sebagai pemangkin buat para usahawan di setiap fasa transformasi digital mereka agar produk tempatan lebih mudah ditemui oleh pembeli di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Adam Abd Ghani berkata, kerjasama itu kritikal bagi memastikan usahawan Kelantan mampu menghasilkan kandungan yang kompetitif untuk memacu impak ekonomi yang nyata.

“Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan ruang fizikal, malah memastikan PMKS Kelantan tidak ketinggalan dalam arus perdana ekonomi digital.

“Kami yakin ekosistem TikTok Shop yang inklusif akan terus memacu pertumbuhan mampan bagi usahawan tempatan untuk membina jenama yang kukuh,” katanya. 

Hab LIVE di Kelantan ini dilengkapi dengan dua studio serba canggih termasuk monitor profesional beresolusi tinggi, skrin layar hijau (green screen), mikrofon kalis bunyi serta akses internet berkelajuan tinggi.

Selain kemudahan teknikal, TikTok Shop dan Tekun Nasional turut menyediakan sesi konsultasi bagi membantu usahawan menguasai kemahiran penghasilan kandungan berkualiti tinggi.

Sehingga kini, seramai 120 usahawan Kelantan telah dilatih melalui bengkel promosi dan perniagaan dalam talian, yang mana kumpulan tersebut berjaya menjana nilai jualan melebihi RM500,000 dalam tempoh hanya tiga bulan selepas tamat latihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN