PARIT BUNTAR: Tiga remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian di sebuah rumah, tiga minggu lalu.
Dua daripada tertuduh yang masing-masing berusia 17 tahun manakala seorang lagi berusia 15 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salwa Asmary Abdul Rahim.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara berkumpulan telah merogol mangsa di sebuah rumah di Parit Haji Amin, Kuala Kurau pada pukul 2 pagi, 7 Februari 2026.
Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Syahrir manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Sariman Mat Serat.
Terdahulu, Amirah Nabihan mencadangkan jaminan sebanyak RM1,000 bagi setiap tertuduh bersama syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, Mohd. Sariman memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan semua tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan selain bukan pesalah berulang serta mengambil kira faktor musim perayaan yang bakal tiba dan memerlukan persiapan kewangan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM500 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada April ini. – UTUSAN










