PUTRAJAYA: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang bekas menteri sebelum ini di sebuah kementerian.
Laporan itu dibuat secara bersama oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Angkatan Nadi Jiwa Islam Malaysia (Panji Malaysia) di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, laporan yang dibuat itu adalah berkaitan satu perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat luar negara yang didakwa membabitkan nilai hampir RM1.1 bilion dan dimeterai pada awal tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran terperinci berhubung laporan tersebut kerana terikat dengan aku janji kerahsiaan yang ditandatangani ketika membuat aduan kepada SPRM.
“Kami telah menerima banyak aduan dan persoalan daripada masyarakat mengenai satu perjanjian kerajaan dengan syarikat luar yang melibatkan hampir RM1.1 bilion. Perjanjian itu dibuat sekitar Mac tahun lepas dan kini timbul persoalan mengenai status serta hala tuju projek tersebut.
“Ia membabitkan seorang bekas menteri dan juga seorang bekas pegawai yang berkhidmat dengan syarikat berkenaan. Kami serahkan kepada SPRM untuk menyiasat sama ada wujud unsur salah laku, salah guna kuasa atau ketirisan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Menurutnya, perjanjian tersebut dikatakan melibatkan aspek perkhidmatan dan aset yang disifatkan penting kepada ekonomi negara serta membabitkan sebuah kementerian besar.
Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada beberapa pihak sejak kebelakangan ini selain isu berkenaan turut dipersoalkan dalam media.
“Dan menjadi persoalan sekarang tidak tahu ke arah mana perjanjian tersebut ataupun projek tersebut. Itu saja yang boleh saya sebut dan saya harap pihak SPRM akan menyiasat sama ada, ada salah laku, salah guna kuasa.
“Kita nak supaya duit awam ini jangan ada salah guna begitu besar, ada ketirisan, ada salah guna kuasa, tidak habis-habis dengan pelakuan rasuah dalam negara yang menghabiskan duit rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan laporan yang dibuat hari ini adalah yang pertama berhubung isu tersebut dan pihaknya bersedia memberi kerjasama penuh kepada SPRM sekiranya diperlukan.
Terdahulu, beliau turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa memilih bulu sekiranya terdapat unsur rasuah atau pelanggaran tatakelola dalam pengurusan perjanjian berkenaan. – UTUSAN










