Tidak tahu ada selisih faham antara Mia Sara, Puteri Balqis di set – Erma Fatima

Tidak tahu ada selisih faham antara Mia Sara, Puteri Balqis di set – Erma Fatima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah, Erma Fatima menegaskan tidak pernah menyedari wujud sebarang insiden buli atau perselisihan faham antara dua pelakon kanak-kanak, Puteri Balqis dan Mia Sara Nasuha ketika mereka terlibat dalam penggambaran drama Akulah Balqis beberapa tahun lalu.

Menurut Erma, sebagai pengarah, fokus utamanya hanya tertumpu kepada mutu lakonan dan perjalanan penggambaran di hadapan kamera tanpa mencampuri urusan peribadi para pelakon di luar set.

“Saya memang tidak tahu dari mana isu itu tercetus. Sepanjang penggambaran berlangsung, tiada apa-apa yang berlaku di set dan drama Akulah Balqis juga bukan puncanya.

“Apabila saya mengarah, saya hanya berada di hadapan monitor. Apa yang saya tahu, mereka datang ke set dan melaksanakan watak yang diberikan. Apa yang berlaku di belakang tabir, saya memang tidak mengetahuinya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Erma ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaharu di Saloma, Kuala Lumpur, semalam.

Tambahnya, jadual penggambaran yang padat, termasuk penglibatan di luar negara, turut menyebabkan dia tidak mengikuti perkembangan isu membabitkan kedua-dua pelakon remaja itu di media sosial.

“Saya lama berada di luar Kuala Lumpur dan hanya pulang malam tadi. Jadi, memang saya tidak tahu mengenai isu tersebut,” ujarnya.

Mengulas penggunaan media sosial yang sering menjadi platform tercetusnya konflik, Erma berpendapat perkara itu bergantung sepenuhnya kepada individu.

“Saya tidak rasa perkara ini hanya melibatkan golongan muda, orang dewasa juga sama.

“Dunia sekarang adalah dunia digital dan media sosial seakan-akan diari terbuka untuk semua orang.

“Terpulang kepada masing-masing untuk menulis dan berkongsi apa sahaja berdasarkan pemikiran sendiri. Sama ada merasakan perkara itu wajar dikongsi atau tidak, itu pilihan individu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN