KUALA TERENGGANU: Pertemuan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi tidak menyentuh pemecatan mana-mana ahli termasuk Timbalan Presidennya, , Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Badrolhisham Shafie berkata, pertemuan tersebut bersifat majlis santai yang telah lama dirancang dan tidak melibatkan sebarang ucapan atau dialog berkaitan pemecatan mana-mana pemimpin parti.
Katanya, Muhyiddin dalam ucapan ringkasnya menggesa semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu supaya terus bersatu serta bersama-sama mempertahan parti berkenaan.
“Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu sepakat bahawa sebarang tindakan disiplin termasuk pemecatan perlu dibuat mengikut perlembagaan parti dan diserahkan sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrolhisham yang juga Setiausaha Bersatu Terengganu berkata, Muhyiddin berucap kurang daripada 15 minit bagi meraikan kehadiran kira-kira 70 orang terdiri daripada Ahli MPT, ahli Parlimen dan ADUN pada majlis makan malam yang diadakan di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, majlis jamuan makan malam bersama Presiden itu telah dirancang sejak akhir tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan beberapa kali ekoran jadual padat pimpinan parti.
“Program malam tadi lebih berbentuk ramah mesra sempena sambutan Ramadan,” katanya.
Terdahulu, satu pertemuan khas melibatkan ahli Parlimen, Senator dan ADUN Bersatu dilapor berlangsung malam tadi bagi membincangkan kedudukan Hamzah sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Menurut sumber, pertemuan itu bertujuan memberi penjelasan mengenai perkembangan dalaman parti termasuk memorandum yang dikemukakan oleh beberapa bahagian berhubung kedudukan Hamzah. – UTUSAN










