KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi, Ajai menyifatkan lambakan lagu hari raya yang dihasilkan artis mahupun pempengaruh media sosial ketika ini sebagai perkembangan positif untuk meraikan kemeriahan bulan Syawal.
Ajai atau Mohamad Faizal Maas, 50, berkata, beliau tidak melihat trend berkenaan sebagai satu kesalahan, malah menyokong usaha mana-mana pihak untuk berkarya selagi tidak menyentuh sensitiviti agama dan budaya tempatan.
“Tidak salah untuk sesiapa pun menghasilkan lagu raya. Lagi ramai berkarya, lagi meriah sambutan kita. Cuma, unsur budaya dan identiti kita itu perlu diketengahkan.
“Walaupun mengikut trend semasa, melodi dan bunyian mesti dekat dengan roh hari raya seperti paluan gendang, tiupan seruling serta ritma yang akrab dengan jiwa masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharu Hafiz Suip berjudul Yang Engkau Mahukan, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ajai berkata, pengkarya bebas melakukan evolusi dalam muzik raya mengikut kreativiti masing-masing dengan mengambil contoh Malah, ikon seni terdahulu seperti P. Ramlee dan Saloma juga pernah memodenkan lagu raya pada era mereka dengan menyuntik elemen ‘twist’ serta pengaruh muzik Barat seperti The Beatles.
“Kekuatan sesebuah lagu Raya terletak pada melodinya. Jika melodinya kuat dan disokong dengan susunan muzik yang sesuai, lagu itu tetap akan diterima.
“Generasi muda mungkin mahu menampilkan gaya mereka sendiri dalam meraikan Aidilfitri. Kita tidak ada undang-undang yang mengatakan pempengaruh tidak boleh buat lagu. Mereka mencuba dan kita perlu hormati identiti seni masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, Ajai turut menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan lagu raya berentak perlahan atau bernada sayu yang lazimnya membangkitkan nostalgia pulang ke kampung halaman.
Menurutnya, kebanyakan lagu raya masa kini lebih menjurus kepada rentak rancak bagi memenuhi cita rasa dan trend semasa di platform media sosial.
“Pada pemerhatian saya, lagu berentak perlahan semakin kurang. Banyak yang rancak kerana mahu mengejar trend. Perlu ada pihak yang mengisi ruang itu kerana jika semua menghasilkan karya sama, tiada kelainan.
“Lagu-lagu sayu inilah yang menyentuh emosi, menimbulkan rasa rindu kepada ibu bapa dan keinginan untuk pulang ke kampung. Namun, akhirnya rezeki bergantung kepada penerimaan pendengar. Lagu yang menyentuh hati, itulah yang akan kekal,” ujarnya.
Terdahulu, media sosial kecoh apabila seorang pempengaruh dikritik warga maya susulan lagu dan muzik video Aidilfitri yang dihasilkan didakwa memaparkan unsur budaya serta agama lain yang tidak bersesuaian dengan kesucian Syawal. -UTUSAN










