PUTRAJAYA: Tiada kuota ditetapkan melibatkan murid berusia enam tahun untuk kemasukan tahun satu bagi sesi persekolahan 2027, malah ibu bapa diberikan ruang sehingga Disember untuk mendaftar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, tiada sebarang sasaran ditetapkan melibatkan murid enam tahun kerana prinsip kerajaan adalah menerima sesiapa sahaja berdasarkan kepercayaan ibu bapa terhadap tahap kesediaan anak masing-masing.
Katanya, dalam tempoh empat hari sejak pendaftaran murid tahun satu dibuka Ahad lalu, permohonan bagi usia enam tahun menggalakkan iaitu melibatkan 28,960 orang.
Beliau berkata, jumlah permohonan diterima bagi kedua-dua kelompok umur adalah seramai 210,249 orang dengan 181,273 terdiri daripada mereka yang berumur tujuh tahun.
“Bagi umur enam tahun untuk kemasukan tahun satu adalah secara pilihan. Oleh itu, ibu bapa atau penjaga tidak rasa terdesak untuk membuat permohonan.
“Apapun, saya berpendapat situasi permohonan yang berlaku adalah menggalakkan.
“Permohonan akan ditutup pada 31 Mac ini dan saya percaya jumlah akan meningkat bagi kedua-dua umur tersebut,” katanya.
Mohd. Azam berkata, ibu bapa masih boleh membuat permohonan untuk pendaftaran lewat iaitu bermula dari 1 April hingga 15 November.
Katanya, peluang terakhir adalah melalui pendaftaran secara manual yang akan dibuka dari 16 hingga 31 Disember 2026, sekiranya para penjaga mendapati anak mereka yang berumur enam tahun bersedia untuk memasuki tahun satu pada 4 Januari 2027.
Jelasnya, permohonan pendaftaran secara manual boleh dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Namun, saya menyeru agar ibu bapa dan penjaga segera membuat permohonan bagi pendaftaran anak-anak untuk kemasukan ke tahun satu bagi 2027 supaya Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menyusun strategi pelaksanaan dengan lebih cekap.
“Bagi ibu bapa dan penjaga yang menghadapi masalah untuk permohonan secara dalam talian, mereka boleh ke JPN, PPD dan sekolah bagi mendapatkan bantuan untuk membuat permohonan.
“Pegawai atau guru akan bersedia untuk membantu dalam perkara ini. Saya juga telah berikan arahan agar semua pegawai dan guru mengambil sikap membantu ibu bapa dan penjaga,” katanya.
Mohd. Azam berkata, ibu bapa yang memerlukan khidmat konsultansi bagi membantu mereka membuat keputusan yang tepat juga boleh berbuat demikian di JPN, PPD atau sekolah.
“KPM tidak akan menghalang untuk ibu bapa dan penjaga yang ingin menghantar anak mereka yang berumur enam tahun memasuki tahun satu.
“Insya-Allah pegawai atau guru akan cuba membantu ibu bapa dan penjaga tersebut,” katanya. – UTUSAN










