Tertuduh kes letupan di Nilai meninggal dunia di hospital

Tertuduh kes letupan di Nilai meninggal dunia di hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lelaki yang didakwa dengan lima pertuduhan kerana memiliki bahan letupan di sebuah unit kediaman di Nilai di sini, tahun lalu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kematian Yeoh Hock Sun, 63, sekitar pukul 8.30 malam daripada anggota pengiring Penjara Kajang.

Menurutnya, tertuduh menerima rawatan di wad HKL sebelum disahkan meninggal dunia.

“Tertuduh sebelum ini dituduh berhubung kes bahan letupan buatan sendiri (IED) di Desa Palma, Nilai dan sedang menerima rawatan di HKL sebelum meninggal dunia pada pukul 8.18 malam tadi.

“Punca kematian disahkan sebagai renjatan refraktori (refractory shock) iaitu keadaan renjatan yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan standard telah diberikan secara optimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Hock Sun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan kepadanya di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada 9 Januari lalu.

Tertuduh didakwa atas lima pertuduhan termasuk tiga pertuduhan di bawah Seksyen 3 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Selain itu, tertuduh turut didakwa secara salah dan dengan niat jahat menggunakan bahan letupan IED di kawasan parkir Blok A, Apartmen Desa Palma pada 22 Disember 2025, sekitar pukul 5.55 pagi.

Hock Sun mengalami kecederaan melecur pada bahagian muka, badan, tangan dan kaki dipercayai akibat kejadian letupan di lokasi berkenaan.

Pada 12 Februari lalu, prosiding sebutan semula kes Hock Sun ditetapkan semula pada 13 Mac selepas dia gagal hadir ke Mahkamah Sesyen, Seremban.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memaklumkan tertuduh berada dalam keadaan kritikal di wad HKL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN