Tengku Muhammad Fauzi ambil alih jawatan Panglima Angkatan Bersama, Zahani ketuai MiDAS

Tengku Muhammad Fauzi ambil alih jawatan Panglima Angkatan Bersama, Zahani ketuai MiDAS

TENGKU Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim mengambil alih tampuk Pemerintahan Angkatan Bersama sebagai Panglima Angkatan Bersama (PAB) menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS).

Kedua-dua pelantikan itu berkuat kuasa pada 1 Januari lalu dengan majlis serah terima tugas di antara Zahani dan Tengku Muhammad Fauzi disempurnakan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini, disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan dihadiri Panglima-Panglima Perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan ATM.

Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan berkata, pelantikan itu selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-632 yang bersidang pada 7 Januari lalu dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 Januari.

“Tengku Muhammad Fauzi mengambil alih tampuk Pemerintahan Angkatan Bersama yang berperanan menyelaras operasi dan eksesais di peringkat domestik dan antarabangsa bagi ketiga-tiga perkhidmatan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Seluruh warga Pemerintahan Angkatan Bersama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Leftenan Jeneral Datuk Zahani atas khidmat baki beliau sebagai Panglima Angkatan Bersama Ke-15 dan setinggi-tinggi tahniah kepada Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi atas pelantikan beliau sebagai Panglima Angkatan Bersama,” katanya. 

Tengku Muhammad Fauzi, 56, memulakan karier dalam ATM dengan menyertai Maktab Tentera Diraja pada 1988 dan meneruskan latihan sebagai Pegawai Kadet di Officer Cadet School, Singapore Armed Forces Training Institute dan kemudian ditauliahkan sebagai Pegawai dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 6 Jun 1990. 

Hampir empat dekad perkhidmatan, beliau pernah memegang jawatan penting, termasuk Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Panglima 10 Briged (Para), Panglima 3 Divisyen, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat serta Timbalan Panglima Tentera Darat. 

Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam misi pengaman antarabangsa termasuk penugasan di Bosnia Herzegovina di bawah NATO serta pembabitan aktif dalam pelbagai latihan bersama angkatan tentera luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN