KLUANG: Seorang lelaki berusia 54 tahun maut ketika mendaki Gunung Lambak di sini bersama kakak iparnya, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Loh Yeong Keong, 54, manakala kakak iparnya berusia 53 tahun.
“Mangsa yang berasal dari Taman Naseb pada mulanya pengsan dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan. Mayat dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bahrin berkata, pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat dikesan.
Mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari kaki gunung. – UTUSAN







