Tembakan kedua nyaris terkena Komander AKPS

Tembakan kedua nyaris terkena Komander AKPS

ANGGOTA forensik memeriksa SUV jenis Proton X70 milik Mohd. Nasaruddin M. Nasir yang ditembak dua suspek dalam kejadian berhampiran Masjid Al-Muhajirin Bukit Kayu Hitam di Changlun, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Tembakan kedua yang dilepaskan suspek dalam kes serangan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam nyaris mengenai mangsa dalam kejadian berhampiran Masjid Al-Muhajirin, di sini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mangsa, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir bagaimanapun sempat membrek kenderaan dipandunya yang menyebabkan tembakan itu tersasar.

Dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal dipercayai melepaskan tembakan ke arah mangsa ketika Mohd. Nasaruddin dalam perjalanan menunaikan solat Subuh.

“Tembakan pertama terkena bahagian pintu belakang sebelah kanan dipandu mangsa, sementara tembakan kedua melintasi beliau yang ketika itu membuka tingkap kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 miliknya.

“Kemungkinan kerana terkejut dengan tembakan pertama, beliau membrek kenderaan yang menyebabkan tembakan kedua suspek tersasar menembusi pintu hadapan penumpang,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam nyaris maut selepas diserang dua lelaki dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi tadi.

Adzli mengesahkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan sempat mengejar suspek bermotosikal yang meloloskan diri ke arah Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengesan kelongsong peluru di tempat kejadian dan suspek dipercayai menggunakan senjata jenis separa automatik.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang walaupun tiada kecederaan berlaku.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN