KANGAR: Kerajaan negeri meneliti keperluan meminda Enakmen Perladangan Unggas Perlis 2006 berkaitan syarat permohonan lesen penternakan ayam yang disifatkan sudah tidak relevan selain menekan golongan penternak.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, beliau baru sahaja mengetahui mengenai perkara itu menerusi laporan berita dan berusaha mempermudahkan semua urusan berkaitan penternak tersebut.
Katanya, beliau juga akan merujuk dan membincangkan perkara itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Megat Hashirat Hassan bagi tindakan selanjutnya.
“Saya mungkin akan bincang bersama Exco terlibat dan panggil semua penternak terlibat bagi mempermudahkan perkara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, penternak ayam di negeri ini memohon kerajaan negeri mempertimbangkan pindaan Enakmen Perladangan Unggas Perlis 2006 berkaitan syarat permohonan lesen penternakan ayam yang ketika ini menekan mereka.
Ketika ini pengusaha berdepan kekangan mendapatkan permit yang memerlukan kebenaran merancang yang menelan kos sekitar RM40,000 bagi kuantiti 500 ekor ayam iaitu syarat bagi mendapatkan lesen berkenaan.
Syarat berkenaan menyukarkan penternak kecil apabila kos RM40,000 itu dilihat cukup tinggi berbanding potensi pulangan bagi projek ternakan hanya berskala 500 ekor ayam.
Mereka memohon kerajaan negeri mempertimbangkan pindaan syarat permohonan lesen tersebut iaitu dengan mengecualikan prosedur kebenaran merancang untuk ternakan 5,000 ekor ayam dan ke bawah.
Abu Bakar berkata, kerajaan negeri pada masa ini sememangnya meletakkan sasaran bagi memajukan industri penternakan di negeri ini selaras dengan pertemuan beliau bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini. – UTUSAN










