PETALING JAYA: Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia tahun ini ialah pada 17 Februari, petang Selasa ini bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah di 29 lokasi terpilih.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan berkata, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Ramadan adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan adalah pada petang Selasa, 17 Februari 2026 bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah.
“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh awal Ramadan yang ditetapkan melalui radio dan televisyen,” katanya hari ini.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah menetapkan sebanyak 29 lokasi terpilih untuk melihat anak bulan Ramadan.
Antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail (Johor); Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Baitul Hilal Bukit Melawati (Kuala Selangor); Baitul Hilal Bukit Jugra, Banting (Kuala Langat) dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam.
Turut terlibat Baitul Hilal Pantai Pasir Panjang, mukim Pengkalan Baru, daerah Manjung (Perak) serta Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang) manakala di Kedah, Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Stesen Cerapan Hilal Pemandangan Indah (Pulau Langkawi) dan Menara Alor Setar, Alor Setar.
Bagi Terengganu pula ialah di Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar (Kuala Terengganu); Stesen Cerapan Hilal Bukit Geliga (Kemaman); Stesen Cerapan Hilal Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA (Mukim Merang, Setiu) manakala di Kelantan melibatkan Stesen Cerapan Hilal Bukit Peraksi (Pasir Puteh); Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram (Kuala Krai) dan Stesen Cerapan Hilal Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu.
Tiga tempat di Sarawak ialah Pusat Falak Esplanade Luak, (Miri); Teluk Bandung (Kuching) dan Pusat Falak Bintulu dan satu lokasi di Sabah iaitu Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan serta tiga di Pahang merangkumi Tapak Cerapan Hilal Bukit Bukit Tanjung Batu (Nenasi); Stesen Cerapan Hilal Gunung Brinchang (Cameron Highlands) dan Menara 188, Kuantan.
Di Wilayah Persekutuan di Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan di Perlis, Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. – UTUSAN










