Tangan dan lutut cedera kerana jatuh, rayuan Rosmah gugur hakim tangguh

Tangan dan lutut cedera kerana jatuh, rayuan Rosmah gugur hakim tangguh

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan akhir Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah projek solar dihadapinya ditangguhkan ke minggu depan kerana wanita itu sedang cuti sakit selepas terjatuh.

Peguamnya, Datuk Jagjit Singh memaklumkan sedemikian pada prosiding yang sepatutnya didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Hakim Datuk Che Ruzima Ghazali dan Hakim Datuk Azimah Omar.

“Anak guam saya turut mengalami kecederaan pada tangan dan lutut ketika cuba menahan diri daripada terjatuh,” katanya.

Jagjit turut memaklumkan Rosmah diberikan cuti sakit bermula 23 hingga 28 Februari ini.

Katanya, Rosmah enggan dimasukkan ke wad walaupun telah dinasihatkan untuk berbuat demikian dan hanya ingin berehat di rumah.

Mahkamah menetapkan pendengaran rayuan tersebut pada 3 Mac ini.

Selain Jagjit, turut mewakili Rosmah ialah Datuk Akberdin Abdul Kader manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mangaiarkarasi Krishnan.

Pada prosiding sama, panel sama turut menolak permohonan pasukan peguam Rosmah untuk mengetepikan Hakim Nordin dan Hakim Che Ruzima daripada mendengar rayuan akhir itu.

Permohonan yang dikemukakan pada saat akhir itu dibuat atas alasan kedua-dua hakim pernah mendengar satu lagi rayuan Rosmah berkait penyingkiran mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada terus mengendalikan kes rasuah solar dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, masing-masing pada 2023 dan 2024.

Hakim Nordin: Anda adalah peguam senior. Kita sudah lama saling mengenali. Adakah benar-benar wujud bahaya berat sebelah?

Jagjit: Maafkan saya, Yang Arif tetapi ini adalah arahan daripada anak guam saya.

Hakim Nordin: Adakah awak menyatakan anak guam awak tidak selesa dengan kehadiran kami berdua dalam panel ini? Tetapi anda mesti menasihati anak guam anda, ini adalah mahkamah undang-undang. Semua orang bertindak berdasarkan undang-undang.

Jagjit sekali lagi memohon maaf atas permohonan tersebut dan hanya menyatakan menjalankan arahan diberikan oleh anak guamnya.

“Kami telah mendengar kedua-dua permohonan untuk mengetepikan dua ahli panel dan kami dapati tiada sebarang risiko berat sebelah (no real danger of bias) sehingga memerlukan kami menarik diri. Kami mempunyai tanggungjawab untuk mendengar kes ini,” kata Hakim Nordin.

Pade 17 September 2025, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazla (kini Hakim Mahkamah Rayuan) daripada terus mendengar kes rasuah projek solar selepas mendapati permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit.

Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini telah memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan memerintahkan tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Sebelum keputusan tersebut diberikan, Rosmah telah memfailkan permohonan itu atas alasan meragui integriti Hakim Mohamed Zaini, ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal.

Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ tular di media sosial.

Dalam afidavit sokongannya, Rosmah terkejut kerana alasan penghakiman kes projek solar itu telah siap dan disediakan oleh pihak ketiga, bukannya hakim berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini sebelum menolak permohonan tersebut menyatakan, segala penghakiman dibuat sendiri olehnya selepas membuat kajian sendiri.

Katanya, beliau telah menulis lebih 200 penghakiman dan penghakiman bocor itu bukanlah alasan penghakiman yang ditulisnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN