PADANG BESAR: Dalam usaha memperkukuhkan sektor agrikomoditi dan meningkatkan pendapatan petani, kerajaan sasar memperluas tanaman kenaf sehingga 2,500 hektar menjelang akhir tahun ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, penamanan kenaf mempunyai impak besar kepada ekonomi negara, malah industri tersebut turut menyumbang kepada aspirasi Malaysia Madani melalui beberapa aspek penting.
Katanya, penanaman kenaf melahirkan ramai usahawan berasaskan tanaman ini seperti penghasilan cendawan menggunakan sisa kenaf dan padi, bahan utama diet makanan kucing serta potensi sebagai minuman teh kesihatan bagi mengurangkan berat badan.
“Produk-produk ini juga dibangunkan dengan kerjasama universiti tempatan terutamanya dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap),” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kementerian Perladagan dan Komoditi (KPK) Perlis di Dewan Bukit Keteri, di sini, semalam.
Noraini berkata, penanaman kenaf kini muncul sebagai ‘emas hijau’ baharu yang mampu mengubah landskap sosio ekonomi di Malaysia khususnya di negeri ini.
Menurutnya, potensi penanaman kenaf di Perlis juga adalah bukti keberhasilan sinergi antara kesesuaian geografi dan visi kerajaan.
“Dengan pengukuhan rantaian bekalan dari peringkat benih di Perlis sehingga ke produk hiliran di peringkat negara, kenaf bakal menjadi tonggak utama dalam memacu ekonomi hijau dan meningkatkan taraf hidup komuniti setempat,” katanya.
Noraini berkata, negeri ini juga merupakan pusat pengeluaran biji benih utama kenaf dan keadaan ini dibantu oleh faktor cuaca panas dan kering yang menjadinya sangat ideal untuk penghasilan biji benih berkualiti tinggi.
Katanya, penanaman kenaf telah berkembang pesat di terutama di Padang Besar dan Chuping bagi menggantikan kawasan itu yang dahulunya didominasi oleh tanaman tebu dan tembakau.
“Pembangunan Kenaf Integrated Park (KIP) di Chuping juga merupakan projek rintis yang memfokuskan kepada pemprosesan pulpa kenaf untuk pasaran produk mesra alam (biodegradable),” katanya.-UTUSAN










