Tahun pengharapan Andy Teh, Elizabeth Tan - Utusan Malaysia

Tahun pengharapan Andy Teh, Elizabeth Tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT menyatukan dua bintang berbakat besar ini sebagai wajah sampul hadapan sempena sambutan Tahun Baharu Cina terlunas pada masa yang benar-benar tepat.

Undangan menjayakan sesi fotografi dan wawancara tetap dipenuhi meskipun bintang-bintang filem Black Ops: Operasi Segala ini terikat dengan jadual penggambaran yang terlalu padat.

Malah sesi penggambaran yang tamat pada awal pagi tidak menghalang Andy Teh untuk mengotakan janji. Begitu juga Elizabeth Tan, tetap hadir meskipun menahan sakit gara-gara jangkitan pada mata kanannya.

Menggayakan koleksi khas jenama Behati sempena sambutan tahun kuda, karakter ceria Andy dan Elizabeth menghidupkan suasana.

Masing-masing berkongsi rasa teruja menjelang perayaan yang disambut sekali dalam satu tahun itu. Tahun Baharu Cina kali ini membawa makna besar buat Andy dan Elizabeth.

“Sambutan kali ini lebih istimewa kerana tahun ini saya berpeluang merayakan di Pasir Penambang, Kuala Selangor, selepas tiga tahun tidak berpeluang.

“Kesempatan ini akan saya manfaatkan dengan melebihkan masa bersama keluarga, saudara mara dan sahabat kerana agak lama tidak berjumpa mereka. Penggunaan telefon bimbit pun terhad urusan penting sahaja.

“Iyalah, waktu ini sahajalah masa kita berkumpul dengan keluarga. Tahun depan kita pun tidak tahu sama ada masih berpeluang atau tidak,” kata Andy.

Menurut Andy, selain berkumpul dengan keluarga, antara perkara lain paling dinantikan adalah peluang untuk menerima anpau daripada ahli keluarga yang sudah berkahwin.

“Disebabkan saya belum berumah tangga, saya layak menerima angpau. Tetapi sejak ada pendapatan sendiri, saya tidak pernah culas memberi wang kepada ibu bapa dan adik saya lebih-lebih lagi pada Tahun Baharu Cina,” katanya lagi.

Bagi Elizabeth pula, Tahun Baharu Cina kali ini disambut dengan kepulangan suami tercinta, Siew Jim ke ibu negara selepas satu tahun berkhidmat sebagai doktor pelatih di Hospital Tapah, Perak.

“Saya teruja sebab pada tahun sebelumnya saya ikut suami pulang ke kampungnya di Air Tawar, Perak. Tapi tahun ini kami sambut Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur.

“Saya gembira kerana sekali lagi berpeluang berkumpul dengan keluarga besar lebih-lebih lagi pada malam sebelum tahun baharu. Itu malam yang paling saya nantikan.

“Dan paling mengujakan adalah tradisi memberi angpau. Cuma keadaan berubah selepas berkahwin kerana selepas sekian lama menjadi penerima, sekarang saya pula yang menjadi pemberi (angpau). Apa pun saya seronok berkongsi rezeki,” ujarnya.

SOALAN CEPUMAS

Andy mengakui antara perkara paling mencabar ketika Tahun Baharu Cina adalah berdepan pertanyaan saudara mara tentang perkahwinan.

“Soalan tentang perkahwinan ini wajib dihadap setiap kali berjumpa saudara mara. Kalau dulu mungkin rimas apabila ditanya perkara sama. Sekarang tidak lagi.

“Saya akan berikan jawapan sama untuk soalan yang berulang. Pada saya yang bertanya itu bukanlah mahu menjaga tepi kain, lebih kepada prihatin dan bimbang,” katanya.

Elizabeth juga tidak dapat mengelak daripada soalan cepumas ketika berjumpa saudara mara. Berbeza dengan Andy, Elizabeth pula berdepan pertanyaan tentang zuriat.

“Soalan tentang anak tidaklah mengganggu. Yang bertanya pun tidak boleh komen lebih apabila jawapan sama yang mereka terima. Mereka tahu saya dan suami mencuba cuma belum ada rezeki.

“Cuma saya sekarang ini lebih berhati-hati sebelum bercerita tentang apa perkara sekalipun tambah lagi mengenai cahaya mata.

“Kerana ketika Tahun Baharu Cina terdahulu saya berkongsi berita yang saya hamil. Namun tidak lama selepas itu mengalami keguguran. Jadi, sekarang ini saya berhati-hati berkongsi sesuatu perkara,” ujarnya.

TAHUN UNTUK LEBIH BERJAYA

Berkongsi mengenai impian, Andy berharap tahun baharu ini membuka lebih banyak pintu untuk dia mengukuhkan kedudukannya dalam dunia lakonan.

“Tahun ini saya mahu bekerja lebih keras. Sebelum ini ada pihak berpandangan saya bertuah kerana selalu dapat peluang berlakon filem.

“Mereka tidak tahu yang saya gigih berusaha, hadir uji bakat dan tidak pernah guna kabel atau kenalan untuk dapat peluang.

“Saya tahu apa yang saya mahukan dalam hidup. Jadi, harapnya tahun ini saya lebih berpeluang mencuba nasib dengan menghadiri lebih banyak uji bakat,” kongsinya.

Elizabeth pula, selain mengharapkan zuriat, juga mengimpikan lebih banyak pencapaian dalam kerjaya seninya.

“Memang saya sedih kerana belum memiliki zuriat. Tambah lagi, timbul kerisauan jika penyakit autoimun yang saya alami menjadi punca kepada keguguran yang saya hadapi sebelum ini.

“Jika ditakdirkan belum masanya untuk menimang cahaya mata, saya reda. Mungkin saya pertimbangkan ambil anak angkat.

“Saya yakin semua ini ketentuan Tuhan. Bila Tuhan tetapkan masanya, maka hamillah saya. Buat masa ini saya dan suami perlu terus mencuba dan tidak boleh berputus asa. Hidup perlu diteruskan.

“Sekarang saya sudah mampu berdamai dengan takdir. Tahun ini juga saya sibuk dengan beberapa tawaran lakonan dan perancangan untuk kembali menyanyi, serta projek-projek lain. Mungkin disebabkan itu juga saya belum menimang cahaya mata,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN