TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menumpaskan sindiket penyeludupan beras putih import selepas menahan tiga lelaki tempatan dalam serbuan di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, di sini, kelmarin.
Ketiga-tiga suspek berusia 16 hingga 44 tahun ditahan pada pukul 9 malam menerusi Op Taring Gelora.
Pemangku Komander PPM Wilayah Tiga Deputi Superintendan Muhamad Keny Anyie Abdullah berkata, bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota telah mengekori sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota bertugas bertindak menahan lori tersebut dan melakukan pemeriksaan.
“Pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan 200 guni beras putih import seberat 10,000 kilogram (kg) dipercayai diseludup masuk secara haram dari negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM290,000,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhamad Keny Anyie memberitahu, hasil semakan menjadi dua daripada tiga suspek tersebut mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kota Bharu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.-UTUSAN










