PETALING JAYA: Bantahan terhadap cadangan untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dipertikaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Dalam hantaran di Facebook bertajuk ‘Kenapa takut dengan kajian?’, Hannah berkata, pendidikan tinggi mengajar semua pihak untuk memahami isu serta membuat kajian mendalam tentang sesuatu perkara bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.
Katanya, bagi mendapatkan keputusan yang tepat dan menyakin, data serta fakta yang tepat sangat diperlukan.
“Sebab itulah saya sangat menghargai setiap proses pembelajaran bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang saya. Di situlah saya belajar memahami kekuatan dan kelemahan sesuatu polisi.
“Perbandingan “pro’s and con’s” (kebaikan dan keburukan) membolehkan kita membuat keputusan dengan cermat, menjimatkan masa dan tenaga kita daripada melakukan kerja yang tidak membawa manfaat serta mengelakkan kesilapan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kajian yang dilaksanakan akan membuatkan seseorang lebih bijak dan merupakan suatu proses mendapatkan keputusan lebih baik.
“Oleh itu, jangan sesekali takut dengan kajian. Malah kebijaksanaan adalah elemen penting sebagai pemimpin yang bertanggungjawab memimpin rakyatnya,” katanya.
Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada beberapa pemimpin UMNO termasuk Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh yang sebelum ini mengatakan bahawa pihaknya akan menolak dan menggagalkan cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar turut memberikan pandangan supaya cadangan itu wajar diteliti dengan lebih berhati-hati dan rasional bukannya tergesa-gesa atas nama reformasi.
Semalam media melaporkan, Hannah mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kementeriannya sedang mempertimbangkan pelaksanaan pilihan raya itu kerana dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandaraya melalui pilihan raya kerajaan tempatan. – UTUSAN










