KUALA LUMPUR: Tidak sampai seminggu suami kepada selebriti Heliza Helmi, Datuk Mahadi Badrul Zaman didakwa di mahkamah, hari ini syarikat milik lelaki itu pula didakwa atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen sah.
AUF MBZ Consortium PLT yang didakwa selaku Orang Kena Saman (OKS) dan diwakili oleh Mahadi selaku pengasas syarikat terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi.
Isnin lalu, Mahadi mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah.
Pada prosiding hari ini, AUF MBZ didakwa menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar bagi aktiviti tersebut.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023 serta 3 September 2021 dan 15 Februari 2024 di No. 70, Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya dekat sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Mageswary Karroppiah manakala OKS diwakili oleh peguam bela, Datuk Mohd. Zamri Mohd. Idrus.
Terdahulu, Mageswary berkata, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan dibuat terhadap syarikat dan bukannya individu.
Beliau turut memohon dua tuduhan hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen sebelum ini untuk dibicarakan bersama dengan kes membabitkan Mahadi.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 April ini. – UTUSAN










