SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memperkenan aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini kerana menyebabkan pencemaran teruk.
Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan berkata, aktiviti penternakan haiwan itu menyebabkan pencemaran udara yang menyebabkan bau busuk serta boleh mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan sisa kumbahannya.
Katanya, Sultan Sharafuddin menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dihentikan jika tiada tempat yang bersesuaian.
“Sebagai contohnya cadangan penternakan babi di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan Felda pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.
“Di samping itu ia boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya hari ini.
Kenyataan itu turut memberitahu, baginda menegaskan penggunaan teknologi moden sekali pun akan menyebabkan kos yang tinggi dan mungkin memberi kesukaran kepada mana-mana penternak yang bergantung kepada bekalan daging babi bagi negeri ini sahaja.
“Walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah peternakan moden, ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan tidak mungkin mampu dibiayai oleh mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di Selangor sahaja.
“Tambahan lagi tiada jaminan penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang,” katanya.
Sultan Sharafuddin mencadangkan kerajaan membenarkan pemberian lesen import daging itu bagi memenuhi permintaan dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Selangor.
“Penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah yang terhad dan ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi, sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Dengan kaedah itu, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa sama kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan,” katanya. – UTUSAN










