PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan empat anak bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan agensi berkenaan.
Utusan Malaysia difahamkan, semua individu itu dicari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
SPRM dalam kenyataan berkata, individu yang sedang dikesan ialah Asnida Abdul Daim yang mempunyai alamat terakhir di No. 6, Lot 545, Lorong Pelangi Pagi D, Country Heights, 43000 Kajang, Selangor.
Turut dikesan ialah Md Wira Dani Abdul Daim dengan alamat terakhir di No. 333, Jalan Kolam Air, Taman Melawati, Ulu Klang, 53100 Kuala Lumpur.
“Dua lagi individu ialah Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin yang mempunyai alamat terakhir di No. 6, Persiaran Bukit Tunku, Bukit Tunku, 50480 Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai kesemua individu terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat, Mohamad Daeem Mohd Ali di talian 017-9127217 atau emel [email protected].
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Ahmad Aiman Ramly di talian 011-61930814 atau emel [email protected].
“Selain itu, orang ramai turut boleh menghubungi Muhamad Ridhwan Mat Hussain di talian 019-9895174 atau emel [email protected] serta Hardiansyah Ismail di talian 013-5639147 atau emel [email protected] bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










