PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti kempen digital calon-calon semasa pilihan raya termasuk mengambil kira kos pengiklanan di media sosial ketika tempoh berkempen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses libat urus dengan semua pihak yang berkaitan akan dilaksanakan bagi memastikan pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) dibuat dengan teratur dan mengambil kira pandangan.
“Justeru, SPR masih belum memuktamadkan pindaan yang akan dibuat sehingga sesi libat urus selesai dilaksanakan,” dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) terhadap perancangan kerajaan bagi meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, terutamanya berhubung had perbelanjaan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen yang dilihat sudah tidak praktikal dan lapuk serta amalan baharu dalam kempen pilihan raya.
Azalina berkata, SPR turut sedang meneliti kesesuaian had perbelanjaan calon yang baharu dan kesesuaian untuk mengambil kira perbelanjaan parti semasa pilihan raya dalam usaha untuk menambah baik Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Katanya, perbelanjaan yang dinyatakan di bawah akta itu merupakan perbelanjaan yang dibuat oleh calon yang bertanding dan bukannya perbelanjaan yang dibuat oleh parti.
“Perbelanjaan maksimum yang dibenarkan untuk setiap calon Dewan Rakyat adalah RM200,000 dan RM100,000 untuk setiap calon Dewan Undangan Negeri,” katanya.-UTUSAN










