SPA Malakoff Utilities luput jejas jangkaan pemerolehan KJTS - Utusan Malaysia

SPA Malakoff Utilities luput jejas jangkaan pemerolehan KJTS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Luputnya perjanjian jual beli (SPA) bagi penjualan 100 peratus pegangan Malakoff Utilities Sdn. Bhd. (MUSB) kepada KJTS Group Bhd. (KJTS) disifatkan sebagai perkembangan negatif kepada KJTS.

Ia susulan jangkaan terdahulu CIMB Securities yang mengunjurkan penyempurnaan pemerolehan MUSB pada suku pertama tahun kewangan 2026.

Penganalisis firma itu, Walter Aw Lik Hsin berkata, anggaran terdahulu turut menjangkakan pengiktirafan sebahagian besar kerja naik taraf kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang meningkatkan kecekapan bagi kemudahan penyejukan berpusat MUSB pada suku kedua hingga suku ketiga tahun kewangan 2026 (unjuran).

“Sehubungan itu, anggaran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 disemak turun antara 6.1 peratus hingga 38.2 peratus.

“Ini bagi mencerminkan penyingkiran sumbangan yang sebelum ini dijangkakan, merangkumi sumbangan EPCC daripada kerja pembaikan aset tenaga penyejukan MUSB, pendapatan operasi MUSB serta manfaat peningkatan ekonomi skala” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia bertarikh 4 Februari, Malakoff Corporation Bhd. memaklumkan bahawa SPA berkenaan telah luput berikutan kegagalan memenuhi syarat terdahulu selepas tamat tempoh ‘long-stop date’ pada 3 Februari 2026.

Difahamkan, dua syarat terdahulu tidak dipenuhi dan Malakoff tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh pemenuhan syarat bagi SPA tersebut.

Sebagai imbasan, KJTS pada Februari 2025 mengumumkan hasrat untuk memperoleh MUSB pada harga RM65.5 juta.

MUSB merupakan pembekal elektrik eksklusif bagi KL Sentral serta mengendalikan loji penyejukan berpusat yang membekalkan air sejuk kepada 10 bangunan dalam pembangunan tersebut.

Mengulas lanjut, Walter berkata, sejajar dengan semakan EPS, harga sasaran (TP) KJTS diturunkan kepada RM1.00 daripada RM1.65 sebelum ini.

Menurutnya, ia berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi tahun kalendar 2027 (unjuran) sebanyak 25 kali yang kekal tidak berubah, iaitu sekitar premium 20 peratus berbanding rakan setara global dalam tenaga penyejukan.

“Walaupun berdepan penurunan pendapatan, pandangan positif terhadap KJTS dikekalkan.

“Ia disokong oleh kedudukannya sebagai satu-satunya proksi untuk mendapat manfaat daripada pertumbuhan struktur kukuh dipacu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), selain kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) EPS tiga tahun sebanyak 22.5 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, turut menyokong penilaian itu adalah premium kekurangan sebagai satu-satunya syarikat tenaga kecekapan tulen berfokuskan NETR yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Pada masa ini, potensi kemenangan kontrak di bawah usaha sama dengan Stonepeak belum diambil kira sebagai pemangkin harga, selain kemungkinan kemenangan kontrak kendiri lain yang bersifat material melebihi RM50 juta dalam segmen tenaga penyejukan.

“Sebarang pemerolehan aset tenaga penyejukan yang menambah nilai berpotensi meningkatkan profil pendapatan jangka panjang KJTS, namun masih belum dimasukkan dalam unjuran semasa,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN