KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Dr. Chong Fat Full sebagai Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memberi sebarang kesan terhadap sayap parti berkenaan.
Naib Ketua Bersekutu Bersatu, R. Sri Sanjeevan berkata, setakat ini Bersekutu Bersatu masih kukuh dan stabil serta masih memberi sokongan kepada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau lagi, dakwaan kononnya dua pertiga kepimpinan atau ahli salah satu cawangan telah mengambil tindakan sama disifatkan sebagai tidak berasas.
“Malah sehingga kini, tiada angka rasmi yang menunjukkan jumlah tersebut seperti yang didakwa.
“Surat peletakan jawatan Dr. Chong Fat Full juga belum diterima daripada beliau,” katanya kepada pemberita.
Fat Full dalam laporan berita sebelum ini dikatakan meletakkan jawatan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu selepas 17 pemimpin Bersatu dipecat keahlian mereka oleh Lembaga Disiplin parti itu, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan kepada Muhyiddin menerusi satu notis bertajuk ‘Makluman Keputusan Lembaga Disiplin Terhadap Laporan Pelanggaran Perlembagaan’ yang bertarikh hari ini.
Notis itu memaklumkan bahawa Lembaga Disiplin telah menerima aduan bertulis daripada ahli BERSATU terhadap responden terbabit berhubung pelanggaran peruntukan Perlembagaan dan Kod Etika Tatakelakuan ahli parti. – UTUSAN










