Skim Barakat, Berkat berpotensi perkukuh daya saing PMKS - Utusan Malaysia

Skim Barakat, Berkat berpotensi perkukuh daya saing PMKS

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruntukan RM80 juta melalui Skim Pembiayaan Perniagaan Ramadan Rakyat (Barakat) dan Program Pembiayaan Khas untuk Perniagaan Mikro Milik Cina (Berkat) dijangka memperkukuh daya saing dan kelestarian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, ia membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran dan daya saing PMKS terutamanya pada musim perayaan yang mempunyai permintaan tinggi.

“PMKS bukan pemain sampingan, namun mereka adalah pemacu utama ekonomi yang mengekalkan permintaan domestik, menjadi penggerak rantaian bekalan tempatan dan menyokong peluang pekerjaan di peringkat komuniti.

“Pembiayaan yang berfokus dan mampu milik adalah penting bagi memastikan perniagaan ini kekal kompetitif, responsif terhadap permintaan pasaran dan kukuh dari segi kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, musim perayaan sering memberi tekanan besar kepada PMKS berikutan kenaikan kos input, keperluan inventori dan kekangan aliran tunai boleh menjejaskan keupayaan mereka bersaing dengan pemain lebih besar dan produk import sekiranya tidak ditangani

“Ketersediaan pembiayaan sehingga RM30,000 pada kadar keuntungan kompetitif, bersama akses mudah di bawah strategi ABCD, terus menangani halangan lama yang dihadapi oleh usahawan mikro, terutamanya akses kepada modal dan birokrasi yang berlebihan.

“Peningkatan daya saing PMKS juga memerlukan bukan sahaja pembiayaan, tetapi juga mekanisme pelaksanaan yang cekap serta akses pasaran yang lebih luas.

“MEF melihat penglibatan TEKUN Nasional, SME Corp Malaysia dan platform Peer-to-Peer (P2P) yang dikawal selia seperti CapBay sebagai langkah positif untuk mempercepat pengagihan.

“Ia turut bagi memperluas capaian dan memodenkan saluran pembiayaan PMKS sambil mengekalkan disiplin pengawalseliaan,” ujarnya.

Syed Hussain berkata, sokongan berterusan dan berfokus kepada PMKS adalah penting untuk melindungi perniagaan tempatan di tengah persaingan yang semakin sengit, kos meningkat dan ketidaktentuan pasaran global.

“Memperkuat daya saing PMKS bukan agenda jangka pendek, namun ia asas untuk memastikan kesinambungan perniagaan, pemeliharaan pekerjaan dan ketahanan ekonomi jangka panjang.

“MEF menggalakkan tumpuan berterusan terhadap peningkatan produktiviti, kemudahan berurusniaga dan akses pembiayaan yang berskala,” jelasnya.

MEF turut menegaskan sokongannya terhadap polisi yang dapat meningkatkan daya saing PMKS, mempromosikan pertumbuhan ekonomi inklusif dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif untuk perusahaan dalam semua sektor.

“MEF menghargai bahawa Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim memahami kesukaran dan tekanan kewangan yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PMKS, terutamanya pada musim perayaan.

“Pengiktirafan ini penting kerana polisi yang berasaskan realiti perniagaan di lapangan lebih berpotensi memberi hasil yang bermakna dan lestari,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN