Selangor bebas ternakan babi

Selangor bebas ternakan babi

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak perkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri Selangor.

Titah Baginda, penternakan haiwan tersebut dikenal pasti menyebabkan pencemaran alam­ sekitar, udara yang ketara akibat bau busuk, selain berpotensi men­cemarkan sumber air sungai melalui pelepasan sisa kumbahan.

Baginda bertitah, sebagai con­­­toh cadangan untuk menjalankan penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor adalah tidak wajar memandangkan kawasan itu merupakan penem­patan majoriti orang Melayu dan melibatkan kawasan Felda, sekali gus dijangka menerima bantahan penduduk setempat.

“Kekangan sumber tanah ne­geri adalah terhad dan cada­ngan tersebut juga boleh meng-akibatkan pencemaran kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” titah baginda melalui kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor, semalam.

Baginda juga menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya aktiviti berkenaan dihentikan sekiranya tiada kawasan yang benar-benar sesuai dan selamat untuk tujuan penternakan dikenal pasti.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa penggunaan teknologi penternakan moden bukan jaminan mutlak untuk mengelakkan pencemaran, malah memerlukan kos yang sangat tinggi dan berkemungkinan memberi kesukaran kepada pengusaha.

Titah baginda, walaupun pencemaran udara dan sungai mungkin dapat dikurangkan melalui kaedah moden, ia memerlukan perbelanjaan besar dan tidak mungkin mampu dibiayai oleh penternak yang hanya bergantung pada pasaran daging babi di Selangor sahaja.

“Tambahan pula, tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca bekalan air bersih kepada penduduk di Lembah Klang,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen import daging babi bagi memenuhi permintaan dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Selangor.

Baginda bertitah, penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor berikutan sumber tanah yang terhad dan faktor nilai hartanah tinggi, yang sewajarnya digunakan untuk tujuan ekonomi lebih produktif.

Menurut baginda, penggunaan tanah di negeri ini perlu dioptimumkan bagi pembangunan dan penempatan yang memberi manfaat lebih besar kepada rakyat serta selari dengan kepentingan jangka panjang negeri.

Utusan Malaysia pada 12 Januari lalu melaporkan Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan tidak berkenan dengan perancangan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Malah, baginda memandang serius keputusan kerajaan negeri yang mahu memindahkan operasi penternakan babi ke Bukit Tagar di Hulu Selangor di atas tapak seluas kira-kira 202 hektar.

Baginda menegaskan, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, sensitif dan seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat di negeri ini.

Bahkan, Sultan Sharafuddin bertitah, kesan daripada aktiviti penternakan babi di Tanjung Sepat itu juga mencetuskan masalah pencemaran yang gagal diselesaikan sejak 2010 seperti bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai dan masalah lalat yang tidak berkesudahan.

Susulan itu, pada 16 Januari lalu, lebih 400 individu mewakili penduduk dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun menyatakan bantahan terhadap pembinaan ladang ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar.

Perhimpunan tersebut turut disertai lebih 300 penduduk dari empat tanah rancangan Felda yang berhimpun di laluan utama Felda Sungai Tengi Selatan dan menyifatkan cadangan pembinaan ladang babi berskala besar itu ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar kelaparan’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN