SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri tersebut.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya mengambil maklum titah baginda dan akan melaksanakannya sebaik mungkin.
“Saya ambil maklum dan akan melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya ringkas ketika ditemui selepas melancarkan Majlis Penyerahan Kit dan Permit Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Pusat Konvensyen MBSA, di sini hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah melarang pembukaan penternakan babi di Selangor.
Baginda bertitah, haiwan tersebut dikenal pasti menyebabkan pencemaran alam sekitar serta pencemaran udara yang ketara akibat bau busuk serta berpotensi mencemarkan sumber air sungai melalui pelepasan sisa kumbahan.
“Sebagai contoh, cadangan untuk menjalankan penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor adalah tidak wajar memandangkan kawasan itu merupakan penempatan majoriti orang Melayu dan melibatkan tanah Felda, sekali gus dijangka menerima bantahan penduduk setempat,” titahnya. –UTUSAN







