Selamatkan Perikatan Nasional keutamaan Pas – Hadi

Selamatkan Perikatan Nasional keutamaan Pas – Hadi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan keutamaan parti kini adalah me­nyelamatkan Perikatan Nasional (PN) yang menghadapi ketidakstabilan berikutan isu pelantikan Pengerusi baharu dan konflik dalaman komponen gabungan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata tindakan itu penting bagi memastikan misi PN mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 berjaya dan melibatkan semua pihak.

Isu penyertaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bersama 16 bekas Ahli Parlimen Bersatu ke parti lain atau ‘rumah baharu’ belum dibincangkan dan terpulang kepada Ahli Parlimen Larut itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Itu terpulang kepada dia (Hamzah). Yang penting kita hendak menyelamatkan PN dahulu kerana Pas berpendapat kita hendak memerintah negara mesti melibatkan semua pihak,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai laporan menyatakan Hamzah yang dipecat daripada Bersatu bersama 16 Ahli Parlimen parti itu akan menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ pada minggu de­pan.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan dilaporkan berkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang juga sudah pun menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut tersebut.

Utusan Malaysia melapor­kan, Pas sudah mempunyai calon untuk mengisi jawatan Pengerusi PN dan keputusan muktamad ditentukan dalam mesyuarat kepemimpinan ter­tinggi gabu­ngan itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu kekal mahu menerajui PN dan akan mengumumkan calon pengerusi gabungan tersebut Ahad ini, menerusi Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN.

Menurut Abdul Hadi, Me­syuarat Luar Biasa MT PN bukan sahaja akan membincangkan calon Pengerusi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan hampir dua bulan lalu, malah dijangka menyentuh soal pelantikan Ketua Pembangkang baharu.

Sementara itu, beliau berkata, terserah kepada Hamzah untuk menentukan tindakannya termasuk menyertai mana-mana parti selepas dipecat daripada Bersatu.

Ditanya jika Hamzah bersama ‘rumah baharunya’ menyertai PN dan apakah akan timbul konflik dalam gabungan itu kerana adanya Bersatu, beliau berkata, perkara itu belum dibin­cangkan.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN mengakui ‘kem Hamzah’ dan ‘kem Muhyiddin’ menemuinya dengan mengemukakan hujah masing-masing berhubung situasi politik semasa.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau mendengar hujah kedua-dua belah pihak dan mahu menyelesaikan isu berbangkit.

“Pihak Hamzah jumpa saya, pihak Muhyiddin pun jumpa saya. Dua-dua pihak mari jumpa. Masing-masing ada hujah, saya dengar dua-dua pihak dan kita nak selesaikan,” katanya.

Terdahulu, Hamzah berkongsi foto di laman sosial Facebook pertemuannya bersama Abdul Hadi dan beberapa pemimpin Pas di Rusila, di sini.

Pertemuan diadakan Jumaat lalu itu, dikatakan berlangsung sebelum Hamzah dipecat sebagai Timbalan Presiden Bersatu.

Rabu lalu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin yang baru dilantik menjalankan tugas Timbalan Presiden Bersatu pula bertemu Abdul Hadi sebagai mewakili ‘kem Muhyiddin’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini