KUALA LUMPUR: Pelakon, Zahiril Adzim, 42, menjelaskan kunjungannya ke sebuah klinik estetik baru-baru ini bukan untuk melakukan prosedur mengecilkan atau memancungkan hidung.
Kata Zahiril, sebaliknya kedatangannya ke klinik itu adalah untuk melakukan prosedur melemahkan otot di bahagian itu mengelakkan hidungnya mengembang disebabkan peningkatan usia.
“Apabila bertambah usia, otot hidung juga mengembang. Jadi saya lakukan prosedur itu agar saiz hidung saya tidak membesar,” katanya pada majlis Tayangan Filem dan Sidang Media Amira Amir semalam.
Baru-baru ini tular video memaparkan Zahiril melakukan rawatan mengecilkan hidung di sebuah klinik sehingga mengundang pelbagai spekulasi.
Katanya, dia tidak pernah mahu mengubah bentuk hidungnya, apatah lagi memancungkannya untuk kelihatan seperti pelakon Korea Selatan.
“Jangan risau, saya tidak akan kecilkan hidung saya.
“Saya sudah 14 tahun dalam industri. Kalau pun saya nak bedah hidung, sepatutnya pada tahun kelapan atau kesepuluh saya jadi pelakon.
“Ini sudah 14 tahun, tak payahlah. Orang cepat perasan nanti,” ujarnya.
Zahiril menegaskan rawatan yag dilakukan bukan disebabkan kurang keyakinan diri, sebaliknya sekadar ingin mencuba prosedur kosmetik terkini.
“Ini pertama kali saya melakukannya. Saya kurang tak pasti apa perubahannya, tetapi kulit di bahagian hidung terasa lembut sedikit,” kongsinya lagi.
Zahiril atau nama sebenarnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar dalam masa yang sama memmberitahu yang dia tidak pernah menyembunyikan pembabitannya dalam prosedur berkenaan dan sedia maklum rakaman tersebut akan dimuat naik di media sosial
“Saya belum tengok video itu dan masih belum baca komen. Tapi saya tahu mereka akan muay naik di media sosial, saya tidak sembunyikannya,” kongsinya lagi. – UTUSAN










