Saya sudah jangka akan dipecat - Zainol Fadzi - Utusan Malaysia

Saya sudah jangka akan dipecat – Zainol Fadzi

ZAINOL FADZI PAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli MPT Bersatu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang dipecat daripada Bersatu hari ini berkata beliau sudah menjangkakan keputusan tersebut.

Menurutnya, tindakan itu membuktikan Lembaga Disiplin sudah mempunyai keputusan walaupun memanggil beliau untuk prosiding kelmarin atas dakwaan melanggar peraturan parti.

“Kami semua dari Perak tidak hadir prosiding Lembaga Disiplin semalam kerana sudah menjangkakan keputusan sudah ada. Prosiding Lembaga Disiplin hanya buat syarat sahaja.

“Tak ada beza sama ada hadir atau tidak, yang hadir (prosiding) pun kena pecat juga, yang tak hadir tentulah kena pecat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zainol Fadzi berkata, beliau menerima keputusan tersebut dan belum memikirkan soal rayuan.

“(Rayuan) belum fikir. Saya juga belum memikirkan apa yang hendak dilakukan, buat masa ini bertenang dahulu,” katanya.

Zainol Fadzi, yang juga bekas Setiausaha Bersatu Perak antara pemimpin yang dipecat setelah didapati melanggar Perlembagaan Bersatu hari ini.

Antara nama terbesar yang dipecat ialah Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, selain Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Turut dipecat Ketua Bahagian Padang Rengas merangkap Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Kapten Azhari Hasan.

Selain itu, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan beberapa pemimpin akar umbi termasuk ketua-ketua bahagian dari pelbagai negeri turut menerima nasib sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN