KUALA LUMPUR: “Walaupun hati pernah terguris, keinginan mencapai redha Allah SWT adalah lebih utama.”
Demikian reaksi pelakon dan usahawan, Nur Fazura terhadap permohonan maaf Lan Pet Pet susulan lawak berunsur lucah yang diterimanya daripada pelakon dan pelawak berkenaan.
Fazura, menerusi Threads memaklumkan sedia menerima permohonan maaf tersebut dan berharap kejadian itu menjadi teladan untuk semua pihak.
“Assalamualaikum saudara Lan, Susulan permohonan maaf secara terbuka oleh saudara Lan, saya memilih untuk segera memaafkan sepertimana segera pula saudara Lan memohon maaf atas kekhilafan anda.
“Semoga pula kejadian ini menjadi pengajaran dan juga teladan buat kita bersama, mudah-mudahan, amin,” tulisnya.
Terdahulu Lan menerima kecaman netizen gara-gara jenaka lucah yang dilayangkannya terhadap Fazura dalam acara bertemu pelanggan sebuah jenama pakaian terkenal di Johor Bahru, baru-baru ini.
Susulan itu, anggota kumpulan Senario berkenaan membuat permohonan maaf menerusi video yang dimuat naik dalam Instagramnya.
“Saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Dalam bergurau, sedar dan tidak ada perkara yang menyentuh perasaan Fazura.
“Saya tidak berniat apa pun. Demi Allah. Saya manusia biasa. Saya minta maaf kerana terlepas cakap, dalam suasana masa itu, saya pun tidak sedar,” katanya.










