PETALING JAYA: Hari ini menandakan satu detik bermakna dengan pelancaran portal Muslimah, sebuah lagi produk di bawah Media Mulia Sdn. Bhd.
Muslimah diwujudkan sebagai medium informasi, refleksi dan wacana khusus untuk wanita Muslim bagi meraikan suara, perjalanan dan pemikiran Muslimah dalam dunia yang sentiasa berubah sekali gus memahami denyut nadi wanita hari ini.
Pengarang Berita Muslimah, Intan Suhana Che Omar berkata, wanita membentuk hampir separuh daripada populasi negara dengan anggaran melebihi 16 juta orang daripada jumlah keseluruhan penduduk sebanyak 34.1 juta.
Katanya, dalam kelompok itu, komuniti Muslim pula merupakan majoriti menjadikan suara Muslimah satu kelompok besar yang tidak wajar dipinggirkan atau disederhanakan naratifnya.
“Sebagai Muslimah, kita sering berdiri di persimpangan antara peranan dan impian, antara tuntutan kehidupan dan keperluan diri.
“Portal Muslimah dibangunkan dengan kesedaran setiap wanita mempunyai cerita, cabaran dan persoalan yang wajar didengari serta dihormati,” katanya.
Tambahnya, isu semasa Muslimah dibincangkan dengan pendekatan seimbang.
“Setiap topik diangkat untuk memberi kefahaman agar pembaca dapat melihat sesuatu isu dengan lebih tenang dan berlapang dada.
“Kecantikan dan fesyen turut diberi ruang sebagai satu bentuk ekspresi yang selari dengan identiti Muslimah.
“Kami percaya kecantikan sejati bermula daripada keyakinan, kesederhanaan dan rasa hormat terhadap diri sendiri.
“Portal ini juga mengetengahkan kisah-kisah Muslimah yang memberi inspirasi untuk panduan Muslimah lain,” katanya.
Di sebalik sempadan geografi, isu Muslimah global turut diketengahkan.
Selain itu, kisah perjuangan, kecekalan dan harapan Muslimah di seluruh dunia dikongsikan agar wanita saling memahami, menyokong dan berasa terhubung sebagai satu ummah.
Ringkasnya, portal ini merupakan ruang eksklusif untuk Muslimah belajar, bertanya dan berkembang.
Ruang yang dibangunkan dengan penuh berhati-hati ini menghormati iman, nilai dan realiti kehidupan sebenar.
Dalam dunia yang sering menetapkan standard kebahagiaan dan kejayaan yang seragam, Muslimah ingin mengingatkan setiap wanita mempunyai perjalanan tersendiri.
Portal ini sudah boleh mula diakses mulai hari ini di www. muslimah.com.my.
Ia teman setia Muslimah yang dibaca ketika mencari ketenangan, dirujuk saat memerlukan panduan dan dirasai kehadirannya sebagai peneman.
Semoga portal ini terus berkembang sebagai platform sirat dengan empati, penuh hikmah dan meraikan wanita dalam seluruh dimensinya.-UTUSAN










