RM80 juta untuk 6,000 usahawan kecil sempena Ramadan, Tahun Baharu Cina

RM80 juta bantu usahawan kecil sempena Ramadan, Tahun Baharu Cina

STEVEN Sim bertemu sebahagian wakil persatuan peniaga yang hadir pada sidang akhbar Program Berkat dan Barakat di Pejabat SME Corp Malaysia, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM80 juta diperuntukkan menerusi dua skim pembiayaan khas bagi membantu lebih 2,500 usahawan kecil di seluruh negara menjelang Ramadan dan Tahun Baharu Cina.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, peruntukan itu melibatkan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (Barakat) bernilai RM50 juta oleh Tekun Nasional serta Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (Berkat) berjumlah RM30 juta yang diuruskan SME Corp. Malaysia.

Menurut beliau, secara anggaran maksimum, skim Barakat dijangka memanfaatkan sehingga 1,666 usahawan mikro, manakala program Berkat pula sekitar 1,000 perusahaan mikro, bergantung kepada jumlah pembiayaan yang diluluskan bagi setiap pemohon.

“Jika semua pemohon menerima pembiayaan maksimum RM30,000, anggaran penerima adalah sekitar angka itu. Namun realitinya, tidak semua memohon jumlah maksimum.

“Bagi skim Barakat, Tekun Nasional menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan 3 peratus setahun dan tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan, khusus kepada peniaga dan penjaja kecil dalam sektor makanan dan minuman, pakaian serta barangan keperluan sempena Ramadan dan Aidilfitri.

“Program Berkat yang dibuka kepada perusahaan mikro milikan Cina turut menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000 pada kadar keuntungan 3 peratus setahun dan skim ini akan ditawarkan sehingga peruntukan dana dimanfaatkan sepenuhnya, ” katanya pada sidang media selepas mengumumkan skim berkenaan di Pejabat SME Corp Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan proses kelulusan pembiayaan akan dipercepatkan kepada lima hingga tujuh hari bekerja, berbanding tempoh 30 hingga 40 hari sebelum ini, dengan syarat dokumen asas dipenuhi oleh pemohon.

“Kita tidak boleh tiada dokumentasi langsung kerana perlu ada tanggungjawab kewangan, tetapi birokrasi akan dikurangkan dan proses dipermudah supaya peniaga kecil tidak terbeban,” katanya.

Menurut beliau, permohonan bagi kedua-dua skim tersebut telah dibuka dan berkuat kuasa serta merta sejajar keperluan segera peniaga untuk menambah modal, membeli stok dan mengembangkan perniagaan menjelang musim perayaan.

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa pendekatan pembiayaan bersasar serta kelulusan pantas ini mampu membantu usahawan mikro menjana pendapatan, mengekalkan kelangsungan perniagaan dan memanfaatkan peluang ekonomi sepanjang Ramadan dan musim perayaan utama negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN