Rasuah: Isa Samad kekal dipenjara enam tahun, denda RM15.45 juta

Rasuah: Isa Samad kekal dipenjara enam tahun, denda RM15.45 juta

MOHD. Isa Abdul Samad ditemani isterinya, Bibi Sharliza Mohd. Khalid hadir ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad disabitkan bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Sarawak oleh Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Nordin Hassan yang turut bersidang bersama Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali membuat keputusan sebulat suara, sekali gus mengembalikan hukuman yang pernah diputuskan Mahkamah Tinggi.

Mohd. Isa perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula hari ini dan denda RM15.45 juta selepas rayuan pendakwaan dibenarkan.

Sekiranya gagal membayar denda, Mohd. Isa perlu menjalani tambahan 18 tahun hukuman penjara.

Pihak pendakwaan selaku perayu diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz manakala responden diwakili peguam M. Athimulan.

Lima tahun lalu, Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap Mohd. Isa selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan itu.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa selama enam tahun.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa pada 2018 dengan sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000.

Suapan itu diterima daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd., Ikhwan Zaidel menerusi bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md. Arip sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB) pada harga RM160 juta.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN