KUALA LUMPUR: Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya boleh diselesaikan melalui pertemuan empat mata antara Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pengerusi Jawatankuasa Pengukuhan dan Penyatuan Bersatu, Tan Sri Rais Yatim berkata, sebarang permasalahan boleh diselesaikan jika kedua-dua pemimpin itu berlapang dada memilih jalan perundingan.
Katanya, pertelagahan dua pemimpin tertinggi hanya memburukkan keadaan, menjejaskan usaha penyatuan parti serta semangat perpaduan Melayu dan Islam.
“Bersatu tiada pilihan lain. Presiden dan timbalannya mesti berperanan sebagai negarawan. Hanya perbincangan khusus antara Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Hamzah mampu menyelesaikan kemelut ini dan mereka perlu bersemuka.
“Ujian di sini adalah sanggup atau tidak sanggup proses itu dilaksanakan? Perlu ingat parti ini namanya Bersatu. Jadi, bila merekah keadaannya dan sekarang retak membawa belah, maka nama Bersatu itu tercabul dan sekali gus, menyemarakkan satu imej yang tidak berasas kepada kejituan.
“Lantaran itu, jika nasihat saya sebagai veteran dan Pengerusi Pengukuhan pun tidak diambil berat dan segala pandangan jawatankuasa ini tidak diguna pakai, tidak ada gunanya lagi jawatankuasa ini kerana ada banyak perkara sudah berlaku kontra dengan nasihat jawatankuasa kami ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bersatu berdepan pergolakan politik apabila terdapat satu pihak mengesa Muhyiddin meletak jawatan sebagai Presiden manakala satu lagi pihak mengesa Hamzah dipecat.
Rais berkata, Jawatankuasa Pengukuhan dan Penyatuan telah bersidang beberapa kali dan mesej penyatuan telah disampaikan secara jelas kepada kepemimpinan tertinggi.
Katanya, lebih 120 Ketua Bahagian Bersatu di seluruh negara mendesak mencontohi perpaduan Melayu Islam dikembalikan dan kemelut kepemimpinan ditamatkan segera.
Rais turut memberi amaran bahawa tindakan memanggil pemimpin tertentu termasuk Hamzah ke Lembaga Disiplin ketika ini hanya membawa kepada perpecahan.
“Jika Datuk Seri Hamzah dihadapkan ke Lembaga Disiplin, ia hanya menyukarkan banyak hal termasuk daripada segi perpaduan kerana pada pandangan jawatankuasa, ia akan kurang tercapai. Sebaiknya adalah tangguh dulu tindakan untuk memanggil mereka kerana sekarang bukan masa untuk tunjukkan kuasa, tetapi penyatuan itu adalah matlamat utama,” katanya.-UTUSAN










