KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak gentar sekiranya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan kerajaan bernilai RM1.1 bilion.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa beliau telah dimaklumkan kediamannya akan diserbu SPRM dalam masa terdekat menerusi satu sumber dalaman agensi tersebut.
Namun beliau bersedia untuk sekali lagi melalui pengalaman intimidasi daripada pihak berkuasa susulan tindakannya membangkitkan isu penyelewengan membabitkan SPRM seperti dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg.
“Saya hendak sampaikan kepada (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Azam Baki, saya ini veteran dalam bab kena tangkap dan masuk lokap, kena serbu, geledah. Jadi saya tak gentar dan bersedia melalui semuanya ini sekali lagi.
“Kita pernah juga melalui dengan taktik intimidasi dan juga mencipta kes seperti ini oleh pentadbiran-pentadbiran sebelum ini, tetapi akhirnya kebenaran akan tetap terserlah dan rakyat akan buat penghakiman,” katanya pada sidang akhbar berkaitan laporan penyelewengan membabitkan SPRM seperti dilaporkan Bloomberg, di sini semalam.
Kelmarin, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak SPRM untuk menyiasat seorang bekas menteri kanan berkaitan perjanjian kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing membabitkan dana sehingga hampir RM1.1 bilion.
Laporan itu kemudian diulang ciap oleh Rafizi di laman sosial X miliknya dengan mendedahkan bahawa ia berkaitan syarikat reka bentuk semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings, yang didakwa memberi sogokan kepadanya.
Bagaimanapun, Rafizi berkata, sehingga kini beliau masih belum dihubungi oleh SPRM untuk sebarang tindakan termasuklah merakam keterangannya.
“Kalau dia hendak tangkap, tangkaplah, geledahlah. Saya tiada apa hendak disembunyikan. Jika benar dakwaan ini, kenapa perlu saya letak jawatan daripada kerajaan.
“Saya pernah jalani 16 kes, jadi apa yang saya boleh katakan kepada SPRM adalah do your worst (ambillah tindakan). Saya tiada apa hendak disembunyikan,” katanya.
Rafizi berkata, perkara itu adalah harga yang perlu dibayar atas prinsip integriti dipegangnya amat berbaloi apatah lagi ia dibuat atas kepentingan rakyat seperti mana pengalaman masa lalu seperti kes 1MDB.-UTUSAN










