PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu memberi penjelasan terperinci berkaitan dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, laporan berkaitan pemilikan saham Azam yang dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000 itu mencetuskan pelbagai persoalan, sama ada dibenarkan di bawah peraturan dan etika perkhidmatan awam atau sebaliknya.
Katanya, kontroversi melibatkan pemilikan saham melibatkan Azam bukan pertama kali dibangkitkan.
“Bukan kali pertama Azam terlibat dalam kontroversi pemilikan saham.
“Yang ini kerajaan dan Azam Baki kena jawab segera. Jangan tangguh-tangguh. Semoga ia dibangkitkan dalam Parlimen. Ia isu kepentingan awam. Jangan sapu bawah karpet,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut laporan sebuah portal berita, Azam dikatakan disenarai sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, menurut pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Laporan itu mendakwa, pegangan saham didedahkan dalam penyata tahunan syarikat terlibat yang difailkan pada 3 Februari 2025.
Berdasarkan harga saham syarikat itu pada penutupan dagangan Isnin, nilai pegangan dianggarkan sekitar RM800,000. – UTUSAN










