KUALA LUMPUR: Kes perceraian pasangan Beego dan Linda Hashim memasuki fasa baharu apabila mahkamah menetapkan 9 April ini sebagai tarikh perbicaraan bagi pengesahan lafaz taklik yang difailkan Linda.
Peguam Syarie Muhamad Akmal Amzan memaklumkan perkara itu selepas prosiding mahkamah berhubung perceraian pasangan itu petang tadi.
“Hari ini berlaku lantikan peguam bagi kes saman lafaz taklik yang difailkan Linda.
“Tapi Perbicaraan tidak dapat dibuat hari ini justeru mahkamah menetapkan 9 April ini sebagai tarikh bagi prosiding seterusnya,” katanya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini petang tadi.
Beego yang turut hadir pada prosiding berkenaan menolak dakwaan segelintir pihak yang kononnya dia sengaja melambatkan proses perceraian untuk kepentingan peribadi.
“Saya tidak boleh melangkau proses mahkamah. Secara dasarnya, tiada apa yang boleh saya lakukan untuk mempercepatkan proses perceraian ini.
“Kita hanya mampu ikut prosedur mahkamah,” katanya.
Beego dalam pada itu menegaskan dia tidak menafikan sepenuhnya (lafaz taklik) berkenaan namun menjelaskan berlaku sedikit kekeliruan yang mengakibatkan perbicaraan berpanjangan.
Beego dalam masa yang sama memaklumkan dia masih menyimpan harapan agar perkahwinannya dapat diselamatkan dan diselesaikan secara baik.
“Pada saya ini satu ujian. Saya perlu pertahankan rumah tangga kami. Kalau diputuskan mahkamah yang pengakhirannya kami berpisah, saya reda.
“Sebelum ini memang niat saya mahu pertahankan. Tapi saya dapat membaca yang dia sudah tidak mahu teruskan perkahwinan ini.
“Disebabkan itu kami kena ikut prosedur mahkamah,” kongsinya lagi.










