Projek baik pulih cerun VHF perkukuh keselamatan infrastruktur strategik negara

Projek baik pulih cerun VHF perkukuh keselamatan infrastruktur strategik negara

MARHALIM Mohamed (dua dari kiri) memberi penerangan ringkas kepada Alexander Nanta Linggi (tengah) pada Majlis Penyerahan Pembaikan Cerun di Laluan VHF Telapak Buruk di Dataran Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Projek pembaikan cerun berskala besar di laluan Frekuensi Sangat Tinggi (VHF) Telapak Buruk di sini menjadi antara langkah strategik kerajaan bagi memastikan keselamatan infrastruktur kritikal negara serta kelangsungan akses teknikal, termasuk di kawasan pedalaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Sdn. Bhd., Datuk Marhalim Mohamed berkata, syarikat itu selaku kontraktor utama bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun di sepanjang laluan berkenaan bagi mengurangkan risiko tanah runtuh dan memastikan akses penyelenggaraan ke kemudahan komunikasi dapat diteruskan.

Menurut beliau, kegagalan menangani risiko cerun di kawasan itu bukan sekadar isu teknikal, malah boleh mencetuskan kesan berantai yang besar terhadap sistem komunikasi keselamatan dan rangkaian digital tempatan.

“Sekiranya cerun berisiko tinggi di sepanjang laluan ini tidak dikenal pasti dan ditangani, ia boleh mewujudkan kesan domino dengan implikasi langsung kepada sistem komunikasi keselamatan serta rangkaian digital setempat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Projek berkenaan disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut mengadakan lawatan rasmi ke beberapa lokasi cerun yang telah siap dibaik pulih di sepanjang laluan VHF, selain meninjau sendiri kaedah pembaikan cerun yang digunakan.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis penyerahan projek itu, Alexander merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pintas Utama atas pelaksanaan tanggungjawab yang cekap, berkesan dan berdisiplin.

“Syabas dan terima kasih kepada kontraktor Pintas Utama atas komitmen tinggi serta usaha berterusan memastikan projek ini disiapkan mengikut piawaian dan tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Projek pembaikan cerun tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula 24 November 2022 dan siap sepenuhnya pada 14 Oktober 2025 dengan kos keseluruhan RM109 juta.

Ia melibatkan 36 Arahan Kerja merangkumi 124 lokasi di sepanjang jajaran sejauh 11 kilometer, melibatkan cerun berisiko tinggi, sederhana dan rendah.

Dalam pada itu, Marhalim berkata, sebarang kegagalan cerun boleh menjejaskan akses penyelenggaraan ke menara komunikasi sekali gus menyebabkan kos pemulihan yang tidak dijangka serta gangguan kepada perkhidmatan digital kritikal yang menjadi nadi kepada ekonomi dan komuniti setempat.

Majlis penyerahan projek hari ini turut melambangkan komitmen kukuh JKR Negeri Sembilan dan Daerah Seremban bersama kontraktor Pintas Utama dalam mengutamakan keselamatan infrastruktur cerun di lokasi-lokasi berkepentingan strategik kepada ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN