Polis tumpaskan sindiket dadah, buat rampasan bernilai RM2.185 juta

Polis tumpaskan sindiket dadah, buat rampasan bernilai RM2.185 juta

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah berskala besar dan merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu yang dianggarkan bernilai RM2.185 juta dalam satu serbuan di Seberang Perai Tengah, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, selain cecair disyaki syabu seberat 19.70 kilogram (kg), dadah lain yang dirampas ialah serbuk MDMA seberat 3.70kg, pil ekstasi (5.18kg) dan ketamin seberat 980.5 gram selain beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses cecair vape.

Beliau berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 4.25 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah tersebut turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Susulan penahanan suspek, polis kemudian menyerbu sebuah kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Bukit Mertajam yang seterusnya membawa kepada penemuan sebuah premis yang dijadikan lokasi untuk menyimpan dadah,” katanya di sini, hari ini.

Azizee berkata, hasil risikan mendapati, sindiket berkenaan dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Oktober lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan sehingga 100,000 kali penggunaan.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek pula mendapati, lelaki itu positif dadah jenis ketamin, amphetamine dan methamphetamine manakala semakan lanjut mengesahkan bahawa suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN