ALOR SETAR: Polis merakam keterangan pengendali belon udara panas yang dipercayai diterbangkan tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di ruang udara negeri ini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, belon udara dikendalikan seorang lelaki warga Itali bersama seorang lelaki tempatan itu didapati berlepas dari Stadium Mini Pendang, dekat sini.
“Kira-kira pukul 8.30 pagi, saksi melihat satu belon udara mendarat di sawah Kampung Pisang, Kota Sarang Semut, di sini. Kenderaan udara ringan itu dipercayai terpaksa mendarat di situ bagi mengelak terbabas ke laut.
“Polis yang menerima laporan kemudian melakukan siasatan termasuk mengambil keterangan pengendali belon udara panas berkenaan yang bertempat di Bertam, Pulau Pinang.
“Hasil siasatan awal mendapati, mereka tidak memperoleh kebenaran CAAM dan Kawalan Trafik Udara (ATC) untuk menerbangkan belon udara panas di ruang udara Kedah. Mereka hanya dapat kebenaran itu bagi ruang udara di Taiping, Perak sahaja,” katanya.
Tambah Syed Basri, penerbangan belon udara panas itu bermula kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum diterbangkan mengikut arah angin.
“Setelah mendarat di Kampung Pisang, semua kru termasuk dua lagi lelaki warga tempatan terus mengemas peralatan dan pulang ke Bertam dengan menaiki kenderaan jenis pacuan empat roda.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kerosakan harta benda berlaku dalam kejadian ini, namun kes dirujuk kepada CAAM untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










