Polis larang perhimpunan Anti Rumah Ibadat Haram 

Polis larang perhimpunan Anti Rumah Ibadat Haram 

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis tidak membenarkan penganjuran perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan itu mengambil kira pertimbangan dan risikan keselamatan yang menjangkakan perhimpunan berkenaan boleh menyebabkan kemudaratan kepada awam.

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dan mengganggu gugat keselamatan awam di lokasi yang berkenaan

Katanya, pihak polis menerima surat bantahan daripada pemilik Kompleks Sogo, Kompleks Pertama dan Harissons dan premis di sekitar lokasi berkenaan tentang kebimbangan mereka berhubung keselamatan pelanggan.

“Maklumat bebas juga diperoleh akan berlaku pecah keamanan dan ancaman keselamatan kepada masyarakat di sekitar lokasi perhimpunan yang dijangka dipenuhi orang ramai yang datang untuk membeli belah sempena sambutan beberapa perayaan. 

“Oleh demikian, setelah membuat pertimbangan dan risikan keselamatan dijangkakan perhimpunan ini boleh menyebabkan kemudaratan kepada awam maka pihak polis membuat keputusan tidak membenarkan penganjur untuk meneruskan perhimpunan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram dilaporkan mahu mengetuai demonstrasi di hadapan kompleks beli-belah Sogo hari ini bagi mendesak penguatkuasaan terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa izin.

Dalam pada itu, Fadil berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadirkan diri dalam perhimpunan ini dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dan mengganggu gugat keselamatan awam di lokasi yang berkenaan. 

“Pihak polis akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam diutamakan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN