PUTRAJAYA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan mengadakan lawatan khas ke Malaysia esok dan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Kementerian Luar, kedua-dua Perdana Menteri dijangka membincangkan kerjasama dua hala dan isu-isu yang berkepentingan bersama, termasuk hasil Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 yang diadakan pada 4 Disember tahun lalu.
“Singapura merupakan jiran dan rakan utama Malaysia dalam ASEAN dengan hubungan yang erat dan meluas dalam pelbagai bidang.
“Dari segi perdagangan dua hala, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM402.35 bilion (AS$93.97 bilion) bagi tahun 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding tahun 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










