ALOR SETAR: PKR Kedah menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar parti itu diperkukuh untuk kembali sebagai antara kubu utama parti di negeri ini.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, tumpuan akan diberi kepada pengukuhan struktur kepimpinan, kesiapsiagaan jentera parti serta penyatuan pengalaman pimpinan terdahulu.
Katanya, perkara itu akan dipadankan dengan semangat generasi baharu bagi memastikan gerak kerja yang berkesan dan berterusan.
“Selari dengan kedudukan PKR yang semakin mantap dan tersusun, usaha mengembalikan peranan Kedah sebagai benteng penting parti akan digerakkan secara lebih berfokus.
“Ia melalui perancangan strategik, pengukuhan organisasi serta kesatuan seluruh pimpinan dan anggota di setiap cabang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar yang juga Presiden PKR ketika menyampaikan amanat dalam Konvensyen Keadilan Kedah 2026 menyatakan negeri itu berpotensi ditawan semula di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana pernah menjadi kubu awal.
Beliau berkata, kawasan yang pernah dimenangi oleh PKR sebelum ini wajar dikembalikan, khususnya yang terletak di bahagian selatan Kedah.
Menurut Tunku Nashrul, pendekatan politik PKR Kedah akan terus berteraskan fakta, dengan penyelesaian yang jelas serta pembelaan terhadap kepentingan dan keperluan rakyat.
Katanya, keutamaan parti adalah memastikan PKR kekal dekat dengan rakyat melalui kefahaman terhadap realiti setempat serta perjuangan berterusan ke arah tadbir urus yang adil, telus dan berwibawa.
“Seiring dengan hala tuju Presiden, PKR Kedah akan terus menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang, memperkukuh hubungan akar umbi serta menampilkan kepimpinan yang berprinsip dalam memikul amanah kepada negeri.
“PKR Kedah menggarap iltizam untuk muncul sebagai alternatif terbaik buat rakyat negeri ini dengan membawa politik berteraskan penyelesaian, kepimpinan berintegriti serta tadbir urus yang adil dan berwibawa demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN










