'Pilih Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui pilihan raya'

‘Pilih Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui pilihan raya’

ZAHARUDDIN Muhammad pada himpunan Turun Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar dipilih menerusi pilihan raya bagi memastikan institusi itu benar-benar bebas daripada pengaruh politik.

Ketua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad berkata, sistem pelantikan yang menyaksikan Perdana Menteri melantik individu menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, mampu menimbulkan konflik, terutamanya jika melibatkan siasatan terhadap individu terpengaruh.

Menurutnya, keadaan itu boleh menimbulkan persepsi bahawa kuasa siasatan dan pendakwaan terhadap kes berprofil tinggi seolah-olah dipengaruhi pihak eksekutif.

“Apabila pelantikan dibuat oleh pihak eksekutif, timbul persoalan sama ada wujud kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat mana-mana pihak termasuk pihak yang mempunyai kuasa melantik.

“Rakyat sukar menerima keadaan apabila individu yang dilantik perlu menyiasat pihak yang mempunyai pengaruh terhadap kedudukannya sendiri,” katanya selepas Himpunan Tangkap Azam Baki di sini, hari ini.

Zaharuddin berpandangan, bagi memastikan semak dan imbang yang lebih berkesan, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM di peringkat pusat wajar dipilih melalui pilihan raya Parlimen, manakala pengarah SPRM di peringkat negeri pula dipilih menerusi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, pendekatan itu akan menjadikan pemegang jawatan berkenaan bertanggungjawab secara langsung kepada rakyat, bukan kepada mana-mana individu atau parti politik.

Zaharuddin turut mencadangkan mekanisme ‘semakan silang’ antara negeri bagi membolehkan siasatan dijalankan secara bebas sekiranya timbul dakwaan salah laku melibatkan pegawai atau pengarah di sesuatu negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN