Petronas Dagangan catat untung RM1.14b, tertinggi sejak 2021

Petronas Dagangan catat untung RM1.14b, tertinggi sejak 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.14 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 iaitu yang tertinggi sejak 2021, didorong oleh jualan bahan api yang lebih tinggi dan penggunaan digital.

Bagi tempoh sama, PDB merekodkan hasil sebanyak RM38.3 bilion berbanding RM37.9 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Prestasi kukuh ini menggariskan keupayaan syarikat untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berubah-ubah, memberikan pertumbuhan yang mampan dan memenuhi keperluan pelanggan.

Pada suku keempat, syarikat merekodkan untung bersih sebanyak RM258 juta berbanding RM249 juta yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan naik sebanyak 18 peratus kepada RM10.6 bilion.

Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan lapan peratus dalam jumlah jualan hasil daripada jualan Jet A1 yang lebih tinggi dan pertumbuhan gasolin motor (Mogas) yang berterusan susulan program BUDI95.

PDB mengisytiharkan dividen interim sebanyak 26 sen sesaham biasa dan dividen khas sebanyak 20 sen sesaham biasa bagi suku keempat, manakala syarikat mengisytiharkan dividen sebanyak 112 sen sesaham biasa, yang mewakili nisbah pembayaran 100 peratus bagi tahun kewangan 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, tahun Kewangan 2025 merupakan tahun penentuan bagi PDB dan syarikat gembira kerana telah memainkan peranan penting dalam menyokong program BUDI95 kerajaan.

Katanya, melalui aplikasi Setel, syarikat memastikan pengesahan MyKad yang mudah untuk kelayakan BUDI95, membolehkan akses yang selamat dan mudah untuk rakyat Malaysia selaras dengan inisiatif kebangsaan.

“Menjelang tahun 2026, pasukan kami dipenuhi dengan tenaga dan optimis, membina tahun yang luar biasa.

“Kami teruja untuk meluaskan portfolio kami dengan penambahan baharu seperti kenderaan elektrik dua roda Blueshark, bersama-sama dengan restoran khidmat segera francais pertama kami yang menampilkan jenama Afrika Selatan yang terkenal iaitu Steers dan Debonairs, lonjakan terbaru kami dalam sektor bukan bahan api,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, 2026 penting dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 memacu aktiviti pelancongan seluruh negara, pelaburan infrastruktur yang berterusan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan tumpuan kukuh kerajaan terhadap kemampanan dan peralihan tenaga.

“Kami melihat peluang yang bermakna untuk menyokong keutamaan negara sambil mewujudkan nilai untuk pelanggan dan rakan kongsi kami.

“PDB berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada permintaan perjalanan yang lebih tinggi, peningkatan ketersambungan jalan raya dan peralihan beransur-ansur ke arah penyelesaian mobiliti yang lebih bersih,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×