PUTRAJAYA: Kerajaan menerima baik dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ ke dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan yang dicapai itu sekali gus membuktikan bahawa perkataan terbabit adalah sah dan berpelembagaan.
“Pagi tadi, ada keputusan di Mahkamah Persekutuan mengenai kes yang dibawa oleh seorang aktivis di mana Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara memutuskan perkataan menghina dan menjelikkan, Seksyen 233 AKM adalah sah dan berperlembagaan.
“Jemaah Menteri menerima baik dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Mahkamah Persekutuan hari ini secara sebulat suara mengembalikan perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ ke dalam peruntukan Seksyen 233 AKM selepas memutuskan kedua-duanya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen berkenaan menjadikan sebagai suatu kesalahan jenayah, apa-apa komunikasi dalam talian yang bersifat ‘lucah, tidak sopan, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk mengganggu, mendera, mengugut atau mengacau orang lain.
Pada masa sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kementeriannya pada 2024 telah membawa pindaan kepada AKM untuk memastikan akta itu tidak disalah guna.
“Pindaan yang dibuat kini meletakkan bukan hanya satu standard ataupun satu tahap yang lebih tinggi, ia bukan lagi jelik tapi jelik melampau bersama dengan enam huraian yang sangat jelas menyatakan apakah sesuatu itu jelik ataupun jelik melampau.
“Kita percaya dengan pindaan ini insya-Allah Seksyen 233 AKM ini lebih sukar ataupun tidak begitu mudah untuk disalahgunakan,” katanya. – UTUSAN










