Perjanjian Arm Holdings perlu diteruskan demi bangunkan sektor semikonduktor bernilai tinggi

Perjanjian Arm Holdings perlu diteruskan demi bangunkan sektor semikonduktor bernilai tinggi

AKMAL NASRULLAH MOHD NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan perjanjian strategik melibatkan syarikat semikonduktor, Arm Holdings perlu diteruskan demi memastikan manfaat jangka panjang kembali kepada negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perjanjian tersebut merupakan keputusan peringkat Kabinet dan selari dengan hala tuju jangka panjang negara untuk membangunkan sektor semikonduktor bernilai tinggi.

Menurutnya, perjanjian dengan syarikat asing itu bertujuan memberi akses kepada harta intelek (IP) reka bentuk cip, sekali gus membolehkan Malaysia beralih daripada tumpuan kepada peringkat hiliran seperti pembungkusan cip kepada segmen huluan atau reka bentuk cip.

“Ketika ini Malaysia berada dalam kelompok enam teratas dunia dalam industri semikonduktor, namun kita banyak tertumpu kepada bahagian back-end. Perjanjian ini adalah langkah strategik untuk membolehkan negara bergerak ke arah reka bentuk cip buatan tempatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis peluncuran Banci Ekonomi, hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap perjanjian bernilai RM1.1 bilion itu melibatkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing berkenaan.

Akmal berkata, hasrat perjanjian tersebut juga selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menekankan penciptaan nilai tambah tinggi serta penghasilan cip ‘Made in Malaysia’.

Menurut beliau, antara sasaran kerjasama strategik itu adalah untuk melahirkan kira-kira 10,000 bakat tempatan sekali gus meningkatkan daya saing negara dalam industri bekalan semikonduktor global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN